Bacaan Sebelum Azan

Islām menyuruh umat bila masuk waktu sembahyang menghendaki menyerukan azan dengan tujuan memanggil Muslimin datang ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Sungguh solat berjemaah ialah suatu amalan yang tidak boleh dipandang ringan. Solat berjemaah itu mesti ditunaikan apabila seseorang mendengar akan azan dan pula sedang berhampiran dengan masjid. Seseorang yang sengaja tidak mahu mengerjakan solat berjemaah apabila mendengar azan, maka solat bersendiri tidak akan menjadi sempurna malahan ada pendapat ulama mengatakan solat tidak sah.

Nabī telah pun meninggalkan ajaran Islām yang begitu indah sekali dan ia mudah untuk memperoleh kefahaman melalui sumber yang sahih. Nabī juga memberi pesan kepada umat agar jangan berpegang selain al-Qur’ān dan hadis. Inilah dua sumber utama bagi umat Islām memperoleh keselamatan hidup di dunia mahupun akhirat. Setiap ajaran Islām kelihatan begitu jelas sekali melalui kedua-dua sumber tersebut. Apa yang dimaksudkan di sini adalah semata-mata berpegang pada sumber yang sahih. Islām mengajarkan kepada umat agar meninggalkan segala keraguan. 

Memanggil umat untuk mengerjakan solat merupakan suatu amalan yang dituntut oleh Islām. Ia telah dilakukan sejak zaman Nabī lagi dan dilakukan juga dari satu generasi ke satu generasi sehingga kini. Tanpa ragu, azan ialah suatu amalan yang sahih dan sewajarnya umat mengucapkan azan. Tetapi apa yang menjadi kelemahan di sini ialah bila saja muazin melafazkan azan, mereka menambah kaedah pembacaan yang telah diajarkan oleh Nabī. Seperti membaca pujian buat Allāh atau selawat ke atas Nabī. Walaupun bacaan ini adalah bacaan yang baik tetapi tidak kena pada tempat. 

Setiap kali Bilāl melafazkan azan, beliau tidak pernah menambah ataupun mengurangkan mana-mana kalimah yang diajarkan oleh Nabī baik sebelum memulakan azan mahupun selepas azan kerana dalam Islām terdapat susunan di mana susunan itu sendiri disusun oleh Nabī. Nabī mengajarkan kepada umat apabila melakukan sesuatu, baca begini atau begitu, seperti dalam solat, ketika rukuk ada bacaan yang sendiri begitu juga ketika sujud, duduk antara dua sujud dan yang lain-lain sebagainya. Tiada panduan yang lebih baik dari petunjuk Nabī. Jangan pula umat mengubah ajaran Nabī menurut perasaan. 

Kadangkala muazin yang wujud pada hari ini, sebelum mereka mengucapkan azan, mereka terlebih dahulu melafazkan pujian kepada Allāh berserta selawat ke atas Nabī. Walaupun kelihatan ucapan itu adalah perkataan yang baik akan tetapi manusia itu tidak sepatutnya menambah sebarang warna dalam urusan ibadat dengan tujuan untuk menambahkan keindahan. Adapun perbuatan sedemikian seolah-olah menyatakan bahawa lukisan agama yang diberikan warna oleh Nabī itu masih belum sempurna dan masih belum indah. Tidak terdapat hadis yang merakamkan bacaan sebelum mengucapkan azan. 

Islām adalah agama yang seimbang, dan padanya, terdapat waktu untuk melaksanakan sesuatu. Pada waktu solat tiada zikir yang lebih baik daripada mengerjakan solat. Pada waktu azan tiada zikir yang lebih bagus daripada mengulangi perkataan azan selepas ucapan muazin. Imām al-Bukhārī telah pun meriwayatkan sebuah hadis mengenai perkara ini, apabila muazin memanggil untuk solat, seseorang menghendaki mengulangi apa yang diucapkan oleh muazin. Apabila waktu azan telah selesai, umat dianjurkan membaca doa. Semua ini jelas dari sumber yang sahih. 

Membaca doa selepas azan telah pun diajarkan oleh Nabī. Jadi, adalah lebih utama memilih bacaan doa yang diajarkan oleh Nabī dari memilih bacaan yang datang dari sumber lain. Namun begitu, tidak salah jikalau seseorang itu ingin membaca doa dari hati naluri masing-masing. Sesungguhnya, Allāh mendengar semua jenis doa tidak kira dari apa bahasa sekali pun. Kelihatan jelas sekali di sini bahawa dalam agama Islām itu terdapat waktu yang tertentu untuk melakukan sesuatu. Apa-apa amalan yang jelas dengan waktu maka umat menghendaki menurut, kerana itu adalah yang paling baik. 

Tentang membaca segala jenis pujian kepada Allāh dan selawat ke atas Nabī sebelum mengucapkan kalimah Allāh Akbar iaitu kalimah yang pertama dalam azan, tidak pula terdapat sebarang hadis yang menganjurkan perkara tersebut. Walaupun ucapan itu merupakan kalimah suci, Nabī lebih tahu apa yang hendak diucapkan dan bila waktu paling baik buat mengucapkan. Oleh kerana itu, urusan agama adalah apa yang diajarkan oleh Nabī. Hanya beliau sahaja yang layak untuk menetapkan sesuatu dan beliau tidak akan pernah berdusta kepada Allāh. 

Adalah tidak sepatutnya umat menambah sesuatu amalan yang sudah jelas diajarkan oleh Nabī. Soal azan ini tidak memerlukan sesiapa membuat ijtihad kerana ia tidak mengelirukan dan hadis mengenai azan mudah untuk difahami. Nabī telah menyuruh seseorang itu meninggalkan semua urusan duniawi apabila mendengar seruan azan, menyambut panggilan itu adalah suatu kewajipan bagi semua lelaki Muslim yang berkebolehan buat sembahyang berjemaah di masjid. Namun begitu, Islām memberikan pengecualian kepada mereka yang uzur atau terhalang oleh sesuatu. 

Tidak sewajarnya seseorang yang mengaku mengikuti ajaran Nabī melafazkan sesuatu sebelum azan seumpama kebanyakan muazin melakukan, akan tetapi umat diberikan galakan membaca doa selepas azan. Keindahan Islām sepatutnya didatangkan penjagaan dengan bersungguh-sungguh. Adalah suatu kewajipan bagi umat memelihara kesucian Islām. Setiap penambahan yang dilakukan tanpa terdapat sebarang dalil yang sahih, itu semua hanya akan merosakkan keindahan Islām. Jika hal ini berterusan, maka tidak mustahil umat menjadi sangat mundur kerana jauh dari pertolongan Allāh.  


Leave a Reply