Cara Melakukan Rukuk

Apabila Nabī habis membaca al-Qur’ān beliau akan berhenti sejenak sebelum melakukan rukuk. Jelas di sini Nabī tidak terus tergesa-gesa melaksanakan rukuk selepas pembacaan al-Qur’ān. Ibn Qayyim menjelaskan bahawa berhenti sejenak itu adalah selama satu tarikan nafas. Adalah tidak sewajarnya jika seseorang itu melakukan rukuk tanpa berhenti sejenak. Nabī mengajarkan agar menyempurnakan setiap gerakan seumpama mana yang beliau tunjuk. Dalam perkara ini, ramai sekali tidak mengambil berat. Kadangkala para imam juga mengabaikan tunjuk ajar Nabī. 

Setelah berhenti seketika lebih kurang satu tarikan nafas, baru Nabī mengangkat tangan kanan dan kiri bersama-sama seumpama mengangkat tangan ketika takbir pada permulaan solat. Mengangkat tangan semasa hendak rukuk merupakan pergerakan yang sahih dan tidak perlu ragu akan perkara tersebut. Nabī mengangkat tangan apabila hendak rukuk dan bangun dari rukuk. Cara ini adalah pendapat yang paling kuat dan ia dipersetujui oleh kalangan ahli hadis dan ahli fikah. Imām Mālik sangat bersetuju dengan hadis ini. Jadi, tidak mengangkat tangan adalah pandangan yang sangat lemah. 

Ketika Nabī mengangkat tangan beliau mengucapkan Allāh Akbar kemudian beliau melakukan rukuk. Sesiapa yang tidak mengangkat tangan, justeru itu, solat mereka itu suatu yang salah dan tidak seperti cara Nabī mengerjakan solat. Nabī pernah menyuruh orang supaya melakukan takbir ketika hendak rukuk, Nabī berkata, sesungguhnya solat seseorang tidak sempurna sebelum menyempurnakan takbir, dan rukuk dengan meletakkan tangan di atas lutut kemudian tetap serta selesa dalam keadaan tulang belakang mapan dan lurus. Hadis ini diriwayatkan oleh Abū Dāwūd dan Nasā’ī. 

Imām al-Bukhārī meriwayatkan, Nabī meletakkan kedua telapak tangan beliau pada kedua-dua lutut. Hadis ini sangat mudah untuk difahami iaitu meletakkan tangan pada lutut bukan di atas paha atau di bawah lutut. Nabī memerintahkan kepada para Ṣaḥābah supaya melakukan hal sedemikian. Sesiapa yang melakukan selain daripada tunjuk ajar Nabī dianggap solat itu tidak sempurna kerana ini adalah bentuk arahan daripada Nabī dan tidak boleh mengerjakan selain dari tunjuk ajar Nabī. Sewajarnya, umat mengambil berat soal solat kerana ia sangat penting dalam agama. 

Imām al-Bukhārī meriwayatkan, Nabī menekankan kedua tangan pada kedua lutut seolah-olah beliau menggenggam kedua-dua lutut. Ḥākim meriwayatkan, Nabī merenggangkan jari-jari beliau. Apabila terdapat orang yang mengerjakan solat dengan cara yang tidak betul, lantas Nabī berkata, jika kamu rukuk, letak kedua tangan kamu pada kedua lutut kamu kemudian renggang jari-jari kamu, kemudian tenang hingga tulang belakang kamu mantap di tempatnya. Tirmidhī meriwayatkan, Nabī menjauhkan kedua siku daripada dua rusuk beliau. 

Al-Bayhaqī meriwayatkan, bila Nabī rukuk, beliau pun meluruskan dan meratakan punggung beliau. Ṭabarānī meriwayatkan, sehingga bila air dituangkan di atas punggung beliau, air tersebut tidak akan bergerak. Kepada orang yang melakukan kesalahan dalam solat, Nabī berkata, jika kamu rukuk letak kedua tangan kamu pada kedua lutut kamu dan meluruskan punggung kamu serta tekan tangan kamu untuk rukuk, hadis diriwayatkan oleh Aḥmad dan Abū Dāwūd. Seterusnya, Nabī tidak mendongakkan dan tidak pula menundukkan kepala beliau tetapi tengah-tengah antara keadaan tersebut. 

Bila seseorang dalam keadaan rukuk, menghendaki tenang dan jangan pula mengerjakan rukuk dalam keadaan tergesa-gesa. Dalam hal seumpama ini, kadangkala terdapat imam yang solat tergopoh-gapah sehingga para jemaah tidak sempat menghabiskan pembacaan mereka. Walaupun begitu, jemaah tidak mengambil peduli akan hal tersebut. Imam tidak pula pernah diberikan nasihat. Seolah-olah jemaah setuju dengan perbuatan imam tersebut. Sungguh, solat seperti ini adalah sangat dilarang oleh Nabī. Imam sepatutnya tidak melakukan kesalahan sedemikian.  

Nabī pernah bersabda, menyempurnakan rukuk dan sujud kamu. Demi Tuhan yang jiwa aku berada di tangan-Nya, aku benar-benar berupaya melihat kamu dari balik punggung aku ketika kamu rukuk dan sujud. Jelas kelihatan di sini bahawa Allāh telah mengurniakan mukjizat kepada Nabī untuk melihat serta membetulkan solat umat manusia. Oleh itu, tiada alasan mengapa umat tidak melaksanakan solat seperti mana yang telah Nabī ajar. Umat tidak selamat sekiranya mereka tidak mengambil berat dalam soal solat kerana ia adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan sebagai Muslim. 

Nabī pernah melihat orang yang melakukan rukuk dengan tidak sempurna kemudian beliau berkata, seandainya orang ini meninggal dalam keadaan begitu, dia mati di luar agama Muḥammad. Perhatikan di sini, walaupun seseorang itu mendirikan solat tetapi tidak pula melaksanakan rukuk dengan betul, bermakna dia bukan termasuk dari umat Muḥammad. Betapa sia-sia amalan seseorang itu yang begitu rajin ke masjid kemudian begitu banyak sekali mendirikan solat sunat, dan berdiri lama dalam solat, tetapi apa guna semua itu jika tidak dilakukan dengan cara yang betul seperti tunjuk ajar Nabī 

Pencuri yang paling jahat itu ialah orang yang melaksanakan pencurian dalam sembahyang iaitu tidak menyempurnakan rukuk dan sujud. Nabī pernah menyaksikan orang yang tidak melaksanakan rukuk dan sujud dengan punggung yang lurus. Ketika sahaja selesai solat, beliau pun bersabda, wahai kaum Muslimin, sesungguhnya tidak sah sembahyang orang yang tidak melakukan rukuk dan sujud dengan meluruskan punggung. Ramai sekali umat Islām itu yang tidak mengambil peduli akan kepentingan meluruskan punggung ketika mengerjakan rukuk. Sewajarnya, perkara ini diberikan perhatian.


Leave a Reply